Perlembagaan PERUBATAN

>> Thursday, 2 December 2010

Assalamualaikum w.b.t
Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang



Perlembagaan PERUBATAN
(selepas dipinda dan disemak dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat, Rabu, 27 Januari 2010)


Fasal I : Nama dan Alamat
Fasal II : Jenis Persatuan
Fasal III : Penaung
Fasal IV : Dasar
Fasal V : Logo
Fasal VI : Objektif
Fasal VII : Keahlian
Fasal VIII : Yuran
Fasal IX : Kewajipan Ahli
Fasal X : Mesyuarat Agung Tahunan
Fasal XI : Mesyuarat Agung Khas
Fasal XII : Pemilihan Jawatankuasa PERUBATAN
Fasal XIII : Lembaga Penasihat
Fasal XIV : Jawatankuasa PERUBATAN
Fasal XV : Tugas tugas Jawatankuasa PERUBATAN
Fasal XVI : Jawatankuasa Kecil/Sementara
Fasal XVII : Kewangan
Fasal XVIII : Kegiatan
Fasal XIX : Cawangan
Fasal XX : Penubuhan dan Pembubaran Cawangan
Fasal XXI : Keahlian Cawangan
Fasal XXII : Mesyuarat Tahunan Cawangan
Fasal XXIII : Mesyuarat Khas Cawangan
Fasal XXIV : Pemilihan Jawatankuasa Cawangan
Fasal XXV : Jawatankuasa Cawangan
Fasal XXVI : Tugas-tugas Ahli Jawatankuasa Cawangan
Fasal XXVII : Jawatankuasa Kecil/Sementara Cawangan
Fasal XXVIII : Yuran Dan Kewangan Cawangan
Fasal XXIX : Kegiatan Cawangan
Fasal XXX : Undang-undang umum Cawangan
Fasal XXXI : Larangan
Fasal XXXII : Lucut Hak
Fasal XXXIII : Pindaan Perlembagaan
Fasal XXXIV : Perkara Am
Fasal XXXV : Pembubaran



Fasal I: Nama dan Alamat

Persatuan ini dinamakan PERSATUAN PELAJAR-PELAJAR PERUBATAN MALAYSIA-MESIR atau dalam bahasa inggeris, ASSOCIATION OF MALAYSIAN MEDICAL STUDENT IN EGYPT, dan sebutan ringkasnya disebut sebagai PERUBATAN dan selepas ini disebut sebagai PERUBATAN. Alamat berdaftar dan alamat surat menyurat PERUBATAN ialah Dewan Malaysia Abbasia Kaherah, 26 Jalan Sabel El-Khazindar, Abbasia, Kaherah, Mesir



Fasal II: Jenis Persatuan


PERUBATAN adalah sebuah persatuan bersifat kebajikan dan non-partisan



Fasal III: Penaung


Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).



Fasal IV: Dasar

Dasar PERUBATAN adalah seperti berikut:
  • Al-quran
  • As-sunnah
  • Ijma’
  • Qias


Fasal V: Logo


PERUBATAN mempunyai satu logo:


Makna logo PERUBATAN adalah seperti berikut:

  • “Persatuan Kebajikan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir” : Nama persatuan
  • “At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah” : Motto PERUBATAN
  • PERUBATAN: Singkatan bagi nama badan ini
  • Lambang bulan dan bintang kuning dan berlatarkan warna biru: Malaysia sebagai tempat asal ahli PERUBATAN
  • Lambang ECG: Membantu pesakit sebagai tugas murni para doctor
  • Bendera Mesir: Mesir sebagai bumi menuntut ilmu
  • Lambang Al Quran: Sebagai pegangan utama dan perlembagaan utama PERUBATAN
  • Bulan sabit merah: Menunjukkan PERUBATAN disertai oleh pelajar-pelajar perubatan


Fasal VI: Objektif

Objektif PERUBATAN adalah seperti berikut:

1. Untuk menjaga dan memperkasa kebajikan ahli secara umum.

2. Untuk menjadi saluran di mana para ahli dapat bertemu dan berbincang ke arah memantapkan perpaduan sesama ahli.

3. Untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan para ahli melalui aktiviti sosial, pendidikan, kerohanian dan lain-lain.

4. Untuk mengadakan hubungan dan jalinan kerjasama dengan badan dan pertubuhan lain yang mempunyai matlamat dan kepentingan yang serupa.

5. Menjaga dan memperkasa pencapaian akademik dikalangan ahli.


Fasal VII: Keahlian

Keahlian PERUBATAN adalah otomatik kepada pelajar Malaysia dalam bidang sains kesihatan di Republik Arab Mesir.

1. Ahli Biasa:
  • Warganegara Malaysia.
  • Pelajar di bidang sains kesihatan di Mesir.
  • Membayar yuran pendaftaran dan yuran keahlian.
  • Mempunyai hak mengundi.
  • Memegang jawatan dalam PERUBATAN.
  • Mendapat faedah-faedah lain mengikut Perlembagaan.
2. Ahli Bersekutu:
  • Warganegara Malaysia.
  • Bukan Ahli Biasa.
  • Mempunyai hubungan perkahwinan dengan Ahli Biasa.
  • Tiada hak mengundi.
  • Tidak boleh memegang jawatan dalam PERUBATAN.
  • Mendapat faedah-faedah lain selari dengan Perlembagaan.
3. Proses keahlian:
  • Hendaklah melengkapkan borang keahlian yang disediakan oleh PERUBATAN dan dihantar kepada Setiausaha Agung PERUBATAN atau Setiausaha Cawangan yang akan mengemukakan borang tersebut kepada pihak Jawatankuasa PERUBATAN untuk pertimbangan. Pihak Jawatankuasa PERUBATAN mempunyai kuasa mutlak untuk menerima atau menolak permohonan. Keahlian seseorang itu gugur dengan sendirinya setelah ia menamatkan pengajian di Mesir.


Fasal VIII: Yuran


1. Setiap ahli perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak L.E 5 (lima) dan yuran tahunan sebanyak L.E 20 (dua puluh).

2. Yuran pendaftaran hendaklah dibayar dalam masa 30 (tiga puluh) hari dari tarikh permohonan diterima.

3. Kutipan yuran pendaftaran dan tahunan cawangan hendaklah disimpan di bawah akaun PERUBATAN sebanyak 30 (tiga puluh) peratus.


Fasal IX: Kewajipan Ahli

1. Ahli yang menghadiri mana-mana mesyuarat atau program PERUBATAN hendaklah berkelakuan baik selaras dengan Etika PERUBATAN.

2. Ahli hendaklah menggunakan cara rundingan dalam keadaan yang bertanggungjawab.

3. Ahli mesti menghormati Perlembagaan PERUBATAN dan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan.

4. Ahli mesti menjaga nama baik PERUBATAN khasnya dan agama dan negara amnya.

5. Ahli hendaklah menjaga keharmonian PERUBATAN.

6. Ahli hendaklah mendukung visi dan misi PERUBATAN dan berusaha membantu mencapai objektif PERUBATAN.

7. Seseorang ahli tidak boleh menerbitkan sebarang surat keterangan atau surat pekeliling atau mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi mengenai PERUBATAN kepada orang-orang yang bukan ahli atau lain-lain pertubuhan atau media-media tanpa izin Jawatankuasa PERUBATAN melainkan jika surat keterangan atau surat pekeliling atau kenyataan itu diluluskan oleh Jawatankuasa PERUBATAN. 8. Seseorang ahli dilarang memberi kenyataan media, menerbit dan/atau mengedar sebarang bentuk tulisan yang melanggar Etika PERUBATAN dan bertentangan dengan dasar, misi serta visi PERUBATAN dan boleh mengganggu keharmonian dan perpaduan PERUBATAN.


Fasal X : Mesyuarat Agung Tahunan

1. Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN mestilah diadakan tidak lewat dari 31 Mac setiap tahun di tarikh, masa dan tempat yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa PERUBATAN.

2. Mesyuarat Agung Tahunan akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Mesyuarat Agung Tahunan (JMAT) yang dilantik oleh Jawatankuasa PERUBATAN selewat-lewatnya 30 (tiga puluh) hari sebelum tarikh mesyuarat tersebut diadakan.

3. Jawatankuasa Mesyuarat Agung Tahunan (JMAT) bertanggungjawab:
  • Mengurus dan memastikan kelancaran Mesyuarat Agung Tahunan.
  • Melantik Pengerusi Mesyuarat untuk mempengerusikan mesyuarat.
  • Melantik Setiusaha Sidang untuk mencatat minit mesyuarat.
  • Mengikut dan melaksanakan gerak kerja mengikut Etika yang ditetapkan.

4. Perkara-perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan itu adalah termasuk perkara-perkara berikut:
  • Menerima laporan Setiausaha Agung, Bendahari Kehormat, dan Ketua-ketua Biro.
  • Menimbang dan memutuskan semua perkara yang berkaitan dengan ahli dan kemajuan PERUBATAN.
  • Menimbang dan memutuskan semua perkara yang termasuk dalam agenda.Melantik 4 (empat) orang Pemeriksa Kira-kira (Juruaudit).

5. Setiausaha Agung hendaklah memberi sekurang kurangnya 14 (empat belas) hari notis kepada ahli mengenai tarikh yang telah ditetapkan untuk Mesyuarat Agung Tahunan.

6. Setiap ahli yang layak mengundi boleh menghantar usul bertulis kepada Setiausaha Agung tidak kurang daripada 7 (tujuh) hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan untuk dibahaskan.

7. Setiausaha Agung hendaklah memberi sekurang-kurangnya 7 (tujuh) hari notis kepada semua ahli mengenai segala urusan mesyuarat yang akan dibincangkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan. Notis tersebut hendaklah dilampirkan dengan Laporan Jawatankuasa PERUBATAN, Penyata Akaun, dan sebarang usul lain yang yang telah dicadangkan oleh ahli.

8. Sebarang usul adalah dianggap lulus untuk diterima jika ahli yang hadir dan layak mengundi memberikan undi dengan majoriti mudah.

9. Sekiranya terdapat jumlah undian yang sama, undian semula akan diadakan.

10. Kuorum MAT akan ditentukan oleh Jawatankuasa MAT yang dilantik dan diluluskan oleh AJKT dan lembaga penasihat.

11. Jika kuorum tidak mencukupi, ahli yang hadir mempunyai kuasa untuk meneruskan urusan mesyuarat tetapi tidak mempunyai kuasa untuk menerima dan membahas usul untuk pindaan Perlembagaan PERUBATAN.

12. Proses perbahasan dan pengundian sesuatu usul akan dijalankan oleh Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Agung Tahunan mengikut Etika yang ditetapkan.

13. Jawatankuasa PERUBATAN dan Lembaga Penasihat PERUBATAN akan terbubar secara rasmi pada hari Mesyuarat Agung Tahunan pada ucapan penangguhan Presiden.



Fasal XI: Mesyuarat Agung Khas

1. Mesyuarat Agung Khas bagi PERUBATAN ini boleh diadakan: • Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa tanpa bantahan 2/3 (dua per tiga) daripada ahli PERUBATAN. atau • Atas permintaan tidak kurang daripada 2/3 (dua per tiga) ahli-ahli PERUBATAN secara bertulis dengan menjelaskan tujuan mereka untuk mengadakannya. 2. Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam tempoh 60 (enam puluh) hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu. 3. Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah dihantar oleh Setiausaha Agung kepada semua ahli selewat-lewatnya 7 (tujuh) hari sebelum tarikh bermesyuarat.


Fasal X (perkara 10 dan 11) berkenaan kuorum akan digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas ini, tetapi jika kuorum tidak juga mencukupi selepas 2 (dua) jam, maka Mesyuarat Agung Khas ini akan dibatalkan.

2. Mesyuarat Agung Khas akan diuruskan oleh Jawatankuasa Mesyuarat Agung Khas (JMAK) yang dilantik oleh Jawatankuasa PERUBATAN selewat-lewatnya 30 (tiga puluh) hari dari tarikh mesyuarat tersebut ditetapkan.

3. Jawatankuasa Mesyuarat Agung Khas bertanggungjawab:
  • Mengurus dan memastikan kelancaran mesyuarat tersebut.
  • Melantik Pengerusi Mesyuarat untuk mempengerusikan mesyuarat.
  • Melantik Setiausaha Sidang untuk mencatat minit mesyuarat tersebut.
  • Mengikut dan melaksanakan gerak kerja mengikut Etika yang ditetapkan.


Fasal XII: Pemilihan Jawatankuasa PERUBATAN


1. Pemilihan Jawatankuasa PERUBATAN hendaklah dijalankan pada atau sebelum Mesyuarat Agung Tahunan.

2. Seramai 2 (dua) ahli jawatankuasa PERUBATAN lelaki dan 2 (dua) ahli jawatankuasa PERUBATAN perempuan yang telah dikekalkan untuk sesi pentadbiran seterusnya, secara automatik terkeluar daripada proses pemilihan jawatankuasa PERUBATAN.

3. Jawatankuasa Khas untuk Pemilihan Jawatankuasa PERUBATAN (JPP) hendaklah ditubuhkan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN untuk mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan pemilihan jawatankuasa.

4. JPP adalah terdiri daripada:
  • Pengarah
  • Setiausaha
  • Bendahari
  • Ahli-ahli Jawatankuasa

5. Ahli Jawatankuasa JPP adalah dilarang untuk mencalon atau dicalonkan dalam pemilihan Jawatankuasa PERUBATAN.

6. Bidang tugas JPP adalah seperti berikut:
  • Mengurus dan memastikan kelancaran dan ketelusan proses pemilihan jawatankuasa PERUBATAN.
  • Mengikut dan melaksanakan gerak kerja mengikut Etika yang ditetapkan.

7. Tugas-tugas JPP dalam proses pemilihan Jawatankuasa PERUBATAN boleh dipantau oleh tidak lebih 4 (empat) orang pemantau yang akan dilantik oleh Lembaga Penasihat sekiranya perlu.

8. Jawatankuasa yang dilantik akan berkuatkuasa selepas pengumuman oleh JPP dalam Mesyuarat Agung Tahunan.


Fasal XIII: Lembaga Penasihat


1. Lembaga Penasihat dipilih oleh Jawatankuasa PERUBATAN selewat-lewatnya 14 (empat belas) hari selepas Mesyuarat Agung Tahunan.

2. Lembaga Penasihat dipilih dari kalangan bekas Ahli Jawatankuasa PERUBATAN atau ahli senior berpengalaman di dalam PERUBATAN.


3. Lembaga Penasihat perlu melantik seorang ketua di kalangan mereka.

4. Bilangan Ahli Lembaga Penasihat adalah tidak kurang 3 (tiga) orang dan tidak lebih 7 (tujuh) orang.

5. Tugas-tugas Lembaga Penasihat adalah seperti berikut:

  • Menasihati Jawatankuasa PERUBATAN.
  • Melantik Jawatankuasa Khas untuk Pemilihan Jawatankuasa PERUBATAN (JPP) dan Jawatankuasa Khas untuk Pemilihan Jawatankuasa Cawangan (JPC).
  • Melantik pemantau untuk proses pemilihan Jawatankuasa PERUBATAN dan pemilihan Jawatankuasa Cawangan sekiranya perlu.


Fasal XIV: Jawatankuasa PERUBATAN


1. Pengurusan PERUBATAN adalah dipertanggungjawabkan kepada satu Jawatankuasa seperti berikut yang dipilih pada atau sebelum Mesyuarat Agung Tahunan:
  • Presiden
  • Timbalan Presiden
  • Timbalan Presiden II (wanita)
  • Setiausaha Agung
  • Timbalan Setiausaha Agung
  • Bendahari Kehormat
  • Timbalan Bendahari Kehormat

2. Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif yang mengetuai biro-biro PERUBATAN yang disebut sebagai Ketua Biro. Bilangan dan portfolio Jawatankuasa ini adalah seperti berikut :
  • Biro Akademik
  • Biro Penerbitan dan Penerangan
  • Biro Pembangunan Insan
  • Biro Perumahan
  • Biro Sukan dan Aktiviti Luar
  • Biro Ekonomi
  • Biro Kebajikan

3. Ahli Lembaga Penasihat.

Tugas-tugas Jawatankuasa PERUBATAN ialah :
  • Menyelia kebajikan ahli
  • Mengatur program PERUBATAN.
  • Membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan PERUBATAN dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan PERUBATAN.
4. Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 4 (empat) kali setahun.

5. Presiden, dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 3 (tiga) orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya 1/2 ( satu per dua) daripada bilangan Ahli Jawatankuasa mestilah hadir untuk mencukupkan bilangan ahli mesyuarat dan mengesahkan mesyuarat.


6. Ahli Jawatankuasa yang tidak menghadiri mesyuarat Jawatankuasa sebanyak 3 (tiga) kali berturut-turut tanpa alasan yang munasabah boleh dilucutkan jawatan dengan persetujuan Ahli Jawatankuasa dan Lembaga Penasihat.


7. Jika terdapat Ahli Jawatankuasa meninggal dunia, atau meletakkan jawatan, atau dilucutkan jawatan atau tidak dapat bertugas atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kekosongan tersebut perlu dipangku oleh mana-mana Ahli Jawatankuasa lain untuk satu tempoh tertentu dan kemudiannya ditentukan oleh JPP berdasarkan Etika. Kekosongan jawatan Presiden hanya boleh dipangku oleh Timbalan Presiden I atau Setiausaha Agung sahaja.


8. Perletakan jawatan oleh mana-mana Ahli Jawatankuasa PERUBATAN perlu mendapat persetujuan Presiden, Ahli Jawatankuasa dan Lembaga Penasihat. Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa adalah muktamad dan mesti dihormati oleh ahli.


9. Ahli Jawatankuasa PERUBATAN tidak boleh bergiat aktif dan menjadi Ahli Jawatankuasa dalam mana-mana pertubuhan lain di Mesir dan perlu memberikan sepenuh komitmen kepada PERUBATAN. Ahli Jawatankuasa tidak boleh menggunakan kedudukan dalam PERUBATAN dan perbendaharaan PERUBATAN untuk kepentingan peribadi.


10. Ahli Jawatankuasa PERUBATAN perlu bermesyuarat di akhir sesi pentadbiran untuk menetapkan 2 (dua) orang ahli jawatankuasa lelaki dan 2 (dua) orang ahli jawatankuasa perempuan untuk dikekalkan dalam jawatankuasa PERUBATAN sesi seterusnya.




Fasal XV: Tugas-tugas Jawatankuasa PERUBATAN

1. Presiden:
  • Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa PERUBATAN dan Presiden berhak mempengerusikan sebarang mesyuarat dalam PERUBATAN.
  • Menandatangani minit mesyuarat yang diluluskan.
  • Bersama Bendahari Kehormat menandatangani cek-cek dan Penyata Akaun bagi pihak PERUBATAN.
  • Menguruskan pentadbiran am, organisasi dan hal ehwal PERUBATAN.
  • Mempengerusikan Bait Muslim dan Hisbah PERUBATAN.
  • Bertanggungjawab terhadap semua portfolio dalam PERUBATAN.
  • Mengetuai Lembaga Penasihat Cawangan.
2. Timbalan Presiden I:
  • Membantu tugas-tugas Presiden dalam menjayakan misi dan visi PERUBATAN.
  • Memangku jawatan Presiden sekiranya jawatan itu dikosongkan dan atau Presiden tidak dapat menjalankan tugas atas sebab-sebab tertentu dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa PERUBATAN.
  • Menyelia hal ehwal Cawangan.
  • Merupakan Ketua Panitia Perancang dan bertanggungjawab melantik ahli-ahli panitia.
3. Timbalan Presiden II:
  • Membantu tugas Presiden dalam menjayakan misi dan visi PERUBATAN.
  • Bertanggungjawab mengenai kebajikan ahli PERUBATAN khususnya wanita.
  • Membantu Presiden mempengerusikan mesyuarat di kalangan Ahli Jawatankuasa wanita.
  • Mengetuai perwakilan PERUBATAN dalam sidang-sidang mengenai wanita.
  • Merupakan Timbalan Ketua Panitia Perancang.
  • Membantu Presiden menyelia portfolio dalam PERUBATAN.
4. Setiausaha Agung:
  • Bertanggungjawab menyimpan rekod dan minit semua mesyuarat PERUBATAN dan mesyuarat Jawatankuasa PERUBATAN.
  • Menjaga dan mengemaskini pendaftaran keahlian PERUBATAN.
  • Merekod segala maklumat ahli PERUBATAN.
  • Mengurus semua surat menyurat bagi pihak PERUBATAN dan menerima salinan semua surat yang diterima atau dikirim oleh
  • Cawangan kepada persatuan atau badan lain.
  • Bertanggungjawab untuk memanggil Mesyuarat Agung dan mesyuarat Jawatankuasa PERUBATAN apabila diarahkan oleh Presiden ataupun sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan ini.
5. Timbalan Setiausaha Agung:
  • Menggantikan Setiausaha Agung ketika ketiadaannya.
  • Membantu tugas-tugas Setiausaha Agung.
  • Menyimpan rekod dan dokumen PERUBATAN.
6. Bendahari Kehormat:
  • Mengutip yuran tahunan dan yuran pendaftaran.
  • Menyimpan dan menandatangani Penyata Akaun pada tiap-tiap mesyuarat Jawatankuasa PERUBATAN.
  • Menyediakan Penyata Akaun tahunan di akhir tahun kewangan untuk dikemukakan di Mesyuarat Agung Tahunan.
  • Menandatangani cek-cek dan Penyata Akaun PERUBATAN bersama Presiden atau Setiausaha Agung.
  • Menyediakan Penyata Akaun dan membentangkan Laporan Kewangan bagi pihak Jawatankuasa dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
  • Menyelia Akaun PERUBATAN dan memantau Akaun Cawangan.
7. Timbalan Bendahari Kehormat:
  • Membantu Bendahari Kehormat dalam mengurus segala urusan kewangan PERUBATAN sebagimana termaktub di dalam Perlembagaan.
8. Ketua-ketua Biro:
  • Menjalankan tugas berdasarkan mesyuarat Jawatankuas PERUBATAN mengikut Etika yang ditetapkan.


Fasal XVI: Jawatankuasa Kecil/Sementara

1. Jawatankuasa PERUBATAN berkuasa untuk menubuhkan Jawatankuasa Kecil/Sementara apabila difikirkan perlu. Jawatankuasa PERUBATAN mestilah menentukan tugas-tugas Jawatankuasa Kecil/Sementara ini dan melantik Pengarah bagi Jawatankuasa tersebut.

2. Pengarah Jawatankuasa Kecil/Sementara berkuasa memilih ahli-ahli dari PERUBATAN untuk memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kecil/Sementara ini. Jawatankuasa PERUBATAN boleh menggantung atau melucutkan ahli-ahli Jawatankuasa Kecil/Sementara ini di atas sebab-sebab yang boleh merosakkan PERUBATAN. Jawatankuasa juga berkuasa membubarkan Jawatankuasa Kecil/Sementara ini.


3. Jawatankuasa Kecil/Sementara ini mesti menghantar Minit Mesyuarat kepada Jawatankuasa selepas tiap-tiap mesyuarat.




Fasal XVII: Kewangan

1. Bendahari Kehormat dibolehkan menyimpan wang yang akan ditetapkan jumlahnya oleh Jawatankuasa dari semasa ke semasa, tetapi tidak boleh melebihi LE 1000 (satu ribu) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa PERUBATAN di bawah Akaun PERUBATAN. Dana adalah diperolehi daripada yuran keahlian,sumbangan dan derma.

2. Sumbangan dan derma yang hendak diterima mestilah mendapat kelulusan Jawatankuasa PERUBATAN, setelah menentukan bahawa penerimaan tersebut tidak akan menjejaskan kebebasan PERUBATAN, memudaratkan pendiriannya atau mempengaruhi dasar, rancangan atau aktivitinya.

3. Penyata Akaun tahunan hendaklah disediakan oleh Bendahari Kehormat dan diedarkan kepada ahli-ahli PERUBATAN, dan diterbitkan sepertimana yang diarahkan oleh Jawatankuasa PERUBATAN.

4. Perbelanjaan yang lebih daripada LE 500 (lima ratus) bagi sesuatu masa mestilah mendapat kelulusan dari Jawatankuasa PERUBATAN. Dana PERUBATAN boleh dibelanjakan untuk perkara berikut:
  • Bayaran kos dan perbelanjaan pentadbiran PERUBATAN.
  • Mencetak dan mengedar surat berita, pekeliling dan dokumen untuk kebajikan dan kepentingan ahli selaras dengan tugas dan matlamat PERUBATAN.
  • Menjalankan aktiviti sukan, akademik, dan sosio budaya untuk ahli.
  • Membeli dan / atau membina atau menyewa bangunan untuk menjalankan kerja-kerja PERUBATAN.
5. Segala cek-cek dan Penyata Akaun PERUBATAN hendaklah ditandatangani bersama oleh Presiden dan Bendahari Kehormat.

6. Tahun Kewangan PERUBATAN ialah dari tarikh diadakan 30 (tiga puluh) hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan hingga 30 (tiga puluh) sebelum Mesyuarat Agung Tahunan berikutnya.


Fasal XVIII: Kegiatan

1. Semua ahli perlu menyertai sebarang aktiviti berpatutan yang dianjurkan oleh PERUBATAN.

2. Kegiatan hendaklah mencapai objektif PERUBATAN seperti yang tersebut dalam Perlembagaan ini.

3. Ahli PERUBATAN yang bercadang untuk membuat sebarang kegiatan yang menggunakan nama PERUBATAN hendaklah menyampaikan surat bertulis bersama-sama dengan kertas kerja kepada Setiausaha Agung PERUBATAN untuk pertimbangan Jawatankuasa PERUBATAN.

4. Sebarang kegiatan mestilah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada persetujuan Jawatankuasa PERUBATAN.


Fasal XIX: Cawangan

1. Cawangan PERUBATAN disebut sebagai Cawangan dan selepas ini disebut sebagai Cawangan. Tempat sesebuah Cawangan adalah berdasarkan taburan negeri (muhafazah).

2. Alamat berdaftar dan alamat surat-menyurat sesebuah Cawangan bergantung kepada keputusan Mesyuarat Tahunan Cawangan Mesyuarat Khas Cawangan.

3. Motto Cawangan mestilah selaras dengan motto PERUBATAN iaitu: “At-Taqwa, As-Syifa`, Ar-Rahmah”

4. Tema semasa Cawangan hendaklah selaras dengan tema semasa PERUBATAN.

5. Logo Cawangan hendaklah mengikut logo PERUBATAN.

6. Objektif Cawangan adalah seperti berikut
  • Menjaga dan memperkasa kebajikan ahli secara umum.
  • Menjadi saluran di mana para ahli dapat bertemu dan berbincang ke arah memantapkan perpaduan sesama ahli.
  • Mengukuhkan perpaduan di kalangan para ahli melalui aktiviti sosial, pendidikan, kerohanian dan lain-lain.
  • Mengadakan hubungan dan jalinan kerjasama dengan badan dan pertubuhan lain yang mempunyai matlamat dan kepentingan yang serupa.
  • Melaksana dan menjayakan misi dan visi semasa Jawatankuasa PERUBATAN.


Fasal XX: Penubuhan dan Pembubaran Cawangan

1. Penubuhan sesebuah Cawangan akan difikirkan apabila bilangan ahli PERUBATAN di cawangan terbabit melebihi 25 (dua puluh lima) orang.

2. Penubuhan sesebuah Cawangan adalah di bawah kuasa dan pertimbangan Presiden PERUBATAN dengan persetujuan Ahli Jawatankuasa PERUBATAN dan Badan Penasihat PERUBATAN dalam mesyuarat khas dengan 4 (empat) orang wakil dari sesebuah cawangan.

3. Cawangan akan ditubuhkan dalam masa 45 (empat puluh lima) hari dari tarikh persetujuan tersebut.

4. Pembubaran sesebuah Cawangan adalah seperti berikut:

  • Sekiranya bilangan ahli sesebuah Cawangan kurang dari 7 (tujuh) orang, Cawangan tersebut akan terbubar secara otomatik tanpa perlu kepada Mesyuarat Agung Khas dan notis pembubaran akan dikeluarkan oleh Presiden PERUBATAN.
  • Sekiranya Jawatankuasa PERUBATAN merasakan mana-mana Cawangan gagal mencapai tujuan dan objektif asal, maka pihak Jawatankuasa PERUBATAN berhak mengadakan Mesyuarat Agung Khas bagi membahaskan perkara tersebut.
  • Sekiranya didapati Cawangan terbabit perlu dibubarkan, maka Mesyuarat Agung Khas tersebut perlu mendapatkan suara majoriti melebihi 2/3 (dua per tiga) ahli mesyuarat yang hadir.
  • Notis pembubaran akan dikeluarkan dalam masa 30 (tiga puluh) hari dari tarikh Mesyuarat Agung Khas tersebut oleh Presiden PERUBATAN menandakan pembubaran secara rasmi.
  • Semua baki ahli Cawangan yang dibubarkan akan dipindahkan ke Cawangan terdekat yang akan ditentukan dalam Mesyuarat Agung Khas tersebut.
  • Sekiranya berlaku pembubaran, segala perbendaharaan Cawangan terbabit akan diselia dan diurus oleh Bendahari Agung PERUBATAN dan laporan khas dari Bendahari Agung PERUBATAN perlu dibentang dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa PERUBATAN dan juga Mesyuarat Agung Tahunan yang terdekat.


Fasal XXI: Keahlian Cawangan


1. Setiap individu yang berdaftar dengan PERUBATAN secara otomatik adalah merupakan ahli Cawangan berdasarkan muhafazah.

2. Syarat-syarat dan perkara-perkara lain berkenaan keahlian adalah seperti dinyatakan dalam Fasal VII, VIII dan IX.

3. Mana-mana ahli Cawangan yang tamat keahlian PERUBATAN secara otomatik dikira tamat keahlian Cawangan.

4. Ahli Cawangan boleh dilucutkan keahlian atas sebab-sebab seperti dinyatakan dalam Fasal XXXII.



Fasal XXII: Mesyuarat Tahunan Cawangan


1. Mesyuarat Tahunan Cawangan hendaklah diadakan selewat-lewatnya 21 (dua puluh satu) hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN.

2. Mesyuarat Tahunan Cawangan akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Mesyuarat Tahunan Cawangan (JMTC) yang dilantik oleh Jawatankuasa Cawangan selewat-lewatnya 15 (lima belas) hari sebelum tarikh mesyuarat tersebut diadakan.

3. Antara perkara-perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan adalah seperti berikut:
  • Menerima laporan tahunan Setiausaha, Bendahari dan lain-lain Ahli Jawatankuasa.
  • Membentuk organisasi Ahli Jawatankuasa Cawangan yang baru untuk sesi berikutnya.
  • Membincangkan perkara-perkara lain yang dibentangkan serta isu-isu berbangkit.
  • Melantik 4 (empat) orang Pemeriksa Kira-kira (Juruaudit).

4. Jawatankuasa Mesyuarat Tahunan Cawangan (JMTC) bertanggungjawab:
  • Mengurus dan memastikan kelancaran Mesyuarat Tahunan Cawangan.
  • Melantik Pengerusi Mesyuarat untuk mempengerusikan mesyuarat.
  • Melantik Setiusaha Sidang untuk mencatat minit mesyuarat.
  • Mengikut dan melaksanakan gerak kerja mengikut Etika yang ditetapkan.
5. Setiausaha Cawangan hendaklah memberi sekurang-kurangnya 14 (empat belas) hari notis kepada ahli mengenai tarikh yang telah ditetapkan untuk Mesyuarat Tahunan Cawangan.

6. Setiap ahli yang layak mengundi boleh menghantar usul bertulis kepada Setiausaha Cawangan tidak kurang daripada 7 (tujuh) hari sebelum tarikh Mesyuarat Tahunan Cawangan diadakan untuk dibahaskan.

7. Setiausaha Cawangan hendaklah memberi sekurang-kurangnya 7 (tujuh) hari notis kepada semua ahli mengenai segala urusan mesyuarat yang akan dibincangkan semasa Mesyuarat Tahunan Cawangan. Notis tersebut hendaklah dilampirkan dengan Laporan Jawatankuasa PERUBATAN, Penyata Akaun, dan sebarang usul lain yang yang telah dicadangkan oleh ahli.

8. Sebarang usul adalah dianggap lulus untuk diterima jika ahli yang hadir dan layak mengundi memberikan undi dengan majoriti mudah.

9. Sekiranya terdapat jumlah undian yang sama, undian semula akan dijalankan.

10. Kuorum Mesyuarat Tahunan Cawangan mestilah tidak kurang 1/3 (satu per tiga) daripada jumlah keseluruhan ahli Cawangan.

11. Jika kuorum tidak mencukupi dalam masa 2 (dua) jam selepas masa yang telah ditetapkan, mesyuarat boleh juga diteruskan sekiranya kehadiran ahli melebihi 1/5 (satu per lima) ahli Cawangan.

12. Jika kuorum tidak juga mencukupi, ahli yang hadir mempunyai kuasa untuk meneruskan urusan mesyuarat tetapi tidak mempunyai kuasa untuk menerima dan membahas sebarang usul untuk dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan.

13. Proses perbahasan dan pengundian sesuatu usul akan dijalankan oleh Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Tahunan Cawangan mengikut Etika yang ditetapkan. Jawatankuasa Cawangan akan terbubar secara rasmi pada hari Mesyuarat Tahunan Cawangan pada ucapan penangguhan Pengerusi Cawangan.

14. Mesyuarat Tahunan Cawangan mesti dihadiri oleh sekurang-kurangnya 2 (dua) orang wakil Jawatankuasa PERUBATAN. Semua laporan berkenaan Cawangan beserta Penyata Akaun Cawangan dan minit Mesyuarat Tahunan Cawangan hendaklah diserahkan kepada Setiausaha Agung PERUBATAN dalam masa 14 (empat belas) hari selepas tarikh mesyuarat.


Fasal XXIII: Mesyuarat Khas Cawangan

1. Mesyuarat Khas Cawangan boleh diadakan:
  • Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Cawangan tanpa bantahan 2/3 (dua per tiga) daripada ahli Cawangan. atau
  • Atas permintaan tidak kurang daripada 2/3 (dua per tiga) ahli-ahli Cawangan secara bertulis dengan menjelaskan tujuan mereka untuk mengadakannya.
  • Dibawah pengetahuan dan makluman Jawatankuasa PERUBATAN.

2. Mesyuarat Khas Cawangan yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam tempoh 60 (enam puluh) hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

3. Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Khas Cawangan itu hendaklah dihantar oleh Setiausaha Cawangan kepada semua ahli Cawangan selewat-lewatnya7 (tujuh) hari sebelum tarikh bermesyuarat.

4. Fasal XXII (perkara 10 dan 11) berkenaan kuorum akan digunakan untuk Mesyuarat Khas Cawangan ini, tetapi jika kuorum tidak juga mencukupi selepas 2 (dua) jam, maka Mesyuarat Khas Cawangan ini akan dibatalkan.

5. Mesyuarat Khas Cawangan akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Mesyuarat Khas Cawangan (JMKC) yang dilantik oleh Jawatankuasa Cawangan selewat-lewatnya 30 (tiga puluh) hari dari tarikh mesyuarat tersebut ditetapkan. Jawatankuasa Mesyuarat Khas Cawangan bertanggungjawab:
  • Mengurus dan memastikan kelancaran mesyuarat tersebut.
  • Melantik Pengerusi Mesyuarat untuk mempengerusikan mesyuarat.
  • Melantik Setiausaha Sidang untuk mencatat minit mesyuarat tersebut.
  • Mengikut dan melaksanakan gerak kerja mengikut Etika yang ditetapkan.
6. Mesyuarat Khas Cawangan mestilah dihadiri oleh sekurang-kurangnya 2 (dua) orang wakil Jawatankuasa PERUBATAN.


Fasal XXIV: Pemilihan Jawatankuasa Cawangan

1. Pemilihan Ahli Jawatankuasa Cawangan hendaklah dijalankan pada atau sebelum Mesyuarat Tahunan Cawangan.

2. Seramai 2 (dua) ahli jawatankuasa Cawangan lelaki dan 2 (dua) ahli jawatankuasa Cawangan perempuan yang telah dikekalkan untuk sesi pentadbiran seterusnya, secara automatik terkeluar daripada proses pemilihan jawtankuasa Cawangan.

3. Jawatankuasa Khas untuk Pemilihan Jawatankuasa Cawangan yang kemudiannya disebut JPC hendaklah ditubuhkan oleh Lembaga Penasihat untuk mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan pemilihan jawatankuasa. JPC adalah terdiri daripada:
  • Pengarah
  • Setiausaha
  • Bendahari
  • Ahli-ahli Jawatankuasa
4. Ahli Jawatankuasa JPC adalah dilarang untuk mencalon atau dicalonkan dalam pemilihan Jawatankuasa Cawangan. Bidang tugas JPC adalah seperti berikut:
  • Mengurus dan memastikan kelancaran dan ketelusan proses pemilihan Jawatankuasa Cawangan.
  • Mengikut dan melaksanakan gerak kerja mengikut Etika yang ditetapkan.
5. Tugas-tugas JPC dalam proses pemilihan Jawatankuasa Cawangan boleh dipantau oleh tidak lebih 4 (empat) orang pemantau yang akan dilantik oleh Lembaga Penasihat sekiranya perlu.

6. Jawatankuasa yang dilantik berkuatkuasa selepas pengumuman oleh JPC dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan.


Fasal XXV: Jawatankuasa Cawangan


1. Pengurusan Cawangan adalah dipertanggungjawabkan kepada satu Jawatankuasa seperti berikut yang dipilih dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan:
  • Pengerusi
  • Timbalan Pengerusi 1
  • Timbalan Pengerusi 2
  • Setiausaha
  • Timbalan Setiausaha
  • Bendahari
  • Timbalan Bandahari

2. Ahli-ahli Jawatankuasa mengikut unit yang disebut sebagai Ketua Unit. Bilangan dan portfolio hendaklah selaras dengan Jawatankuasa Eksekutif PERUBATAN.


3. Lembaga Penasihat (Lembaga Penasihat Cawangan diketuai oleh Presiden) Tugas-tugas Ahli Jawatankuasa Cawangan ialah:
  • Menyelia kebajikan ahli Cawangan.
  • Mengatur program Cawangan.
  • Membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Cawangan dengan tidak bertentangan dengan Perlembagaan PERUBATAN.
  • Melaksana dan menjayakan misi dan visi Jawatankuasa PERUBATAN

4. Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 4 (empat) kali setahun.

5. Pengerusi, dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 3 (tiga) orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya 1/2 (satu per dua) daripada bilangan Ahli Jawatankuasa mestilah hadir untuk mencukupkan bilangan ahli mesyuarat dan mengesahkan mesyuarat.

6. Sekiranya timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan Mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Cawangan boleh mengeluarkan kelulusan Jawatankuasa melalui surat pekeliling atau lain-lain cara yang bersesuaian.

7. Ahli Jawatankuasa yang tidak menghadiri mesyuarat Jawatankuasa sebanyak 3 (tiga) kali berturut-turut tanpa alasan yang munasabah boleh dilucutkan jawatan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa PERUBATAN dan Lembaga Penasihat.

8. Jika terdapat Ahli Jawatankuasa meninggal dunia, atau meletakkan jawatan, atau dilucutkan jawatan atau tidak dapat bertugas atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kekosongan tersebut perlu dipangku oleh mana-mana Ahli Jawatankuasa lain untuk satu tempoh tertentu dan kemudiannya ditentukan oleh JPP berdasarkan Etika. Kekosongan jawatan Presiden hanya boleh dipangku oleh Timbalan Presiden I atau Setiausaha Agung sahaja.

9. Ahli Jawatankuasa Cawangan tidak boleh bergiat aktif dan menjadi Ahli Jawatankuasa dalam mana-mana pertubuhan lain di Mesir dan perlu memberikan sepenuh komitmen kepada PERUBATAN.

10. Ahli Jawatankuasa Cawangan perlu bermesyuarat di akhir sesi pentadbiran untuk menetapkan 2 (dua) orang ahli jawatankuasa lelaki dan 2 (dua) orang ahli jawatankuasa perempuan untuk dikekalkan dalam jawatankuasa Cawangan sesi seterusnya.


Fasal XXVI: Tugas-tugas Ahli Jawatankuasa Cawangan


1. Pengerusi:
  • Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Cawangan dan Ketua berhak mempengerusikan sebarang mesyuarat dalam Cawangan.
  • Menandatangani minit mesyuarat yang diluluskan
  • Bersama Bendahari menandatangani cek-cek bagi pihak Cawangan.
  • Menguruskan pentadbiran am,organisasi dan hal ehwal Cawangan.
  • Mengurus Bait Muslim dan Hisbah PERUBATAN di peringkat Cawangan.
  • Menjalankan arahan Presiden PERUBATAN di peringkat Cawangan serta menjayakan misi dan visi PERUBATAN.

2. Timbalan Pengerusi 1:
  • Membantu tugas-tugas Pengerusi dalam menjayakan misi dan visi PERUBATAN.
  • Memangku jawatan Pengerusi sekiranya jawatan itu dikosongkan dan atau Pengerusi tidak dapat menjalankan tugas atas sebab-sebab tertentu dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa PERUBATAN.
  • Merupakan Ketua Panitia Perancang Cawangan dan bertanggungjawab melantik ahli-ahli panitia.

3. Timbalan Pengerusi 2:
  • Membantu tugas-tugas Pengerusi dalam menjayakan misi dan visi PERUBATAN.
  • Bertanggungjawab mengenai kebajikan ahli Cawangan khususnya wanita.
  • Mempengerusikan mesyuarat di kalangan Ahli Jawatankuasa wanita Cawangan.
  • Mengetuai perwakilan Cawangan dalam sidang-sidang mengenai wanita.
  • Merupakan Timbalan Ketua Panitia Perancang Cawangan.
  • Membantu Pengerusi menyelia portfolio dalam Cawangan PERUBATAN.

4. Setiausaha:
  • Menjalankan arahan Setiausaha Agung PERUBATAN di peringkat Cawangan.
  • Bertanggungjawab menyimpan rekod dan minit semua mesyuarat di Cawangan dan mesyuarat Jawatankuasa Cawangan.
  • Membantu Setiausaha Agung dalam menguruskan pendaftaran keahlian PERUBATAN.
  • Merekod segala maklumat ahli Cawangan.
  • Mengurus semua surat menyurat bagi pihak Cawangan dan menghantar salinan semua surat yang diterima atau dikirim oleh Cawangan kepada persatuan atau badan lain kepada Setiausaha Agung.
  • Bertanggungjawab untuk memanggil Mesyuarat Tahunan Cawangan dan mesyuarat Jawatankuasa Cawangan apabila diarahkan oleh Ketua ataupun sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan ini.

5. Timbalan Setiausaha:
  • Menggantikan Setiausaha ketika ketiadaannya.
  • Membantu tugas-tugas Setiausaha.
  • Menyimpan rekod dan dokumen PERUBATAN di peringkat Cawangan.

6. Bendahari:
  • Membantu tugas Bendahari.
  • Mengutip yuran tahunan dan yuran pendaftaran.
  • Menyimpan dan menandatangani Penyata Akaun Cawangan pada setiap mesyuarat Jawatankuasa Cawangan.
  • Menandatangani cek-cek dan Penyata Akaun Cawangan bersama Pengerusi.
  • Menyediakan Penyata Akaun dan membentangkan Laporan Kewangan bagi pihak Jawatankuasa Cawangan dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan.
  • Menyelia Akaun Cawangan.

7. Timbalan Bendahari:
  • Membantu Bendahari dalam mengurus segala urusan kewangan Cawangan sebagimana termaktub di dalam Perlembagaan.

8. Ketua-ketua Unit:
  • Melaksana dan menjayakan misi dan visi Ketua Biro PERUBATAN di peringkat Cawangan.
  • Menjalankan tugas berdasarkan mesyuarat Jawatankuasa Cawangan mengikut Etika yang ditetapkan.


Fasal XXVII: Jawatankuasa Kecil/Sementara Cawangan

1. Jawatankuasa Cawangan boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil/Sementara apabila difikirkan perlu. Jawatankuasa Cawangan mestilah menentukan tugas-tugas Jawatankuasa Kecil/Sementara ini dan melantik Ketua bagi Jawatankuasa tersebut.

2. Ketua Jawatankuasa Kecil/Sementara berkuasa memilih ahli-ahli dari Cawangan untuk memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kecil/Sementara ini.

3. Jawatankuasa Kecil/Sementara ini mesti menghantar minit mesyuarat kepada Jawatankuasa Cawangan selepas setiap mesyuarat.

4. Setiausaha Cawangan hendaklah menghantar segala laporan dan minit mesyuarat Jawatankuasa Kecil/Sementara Cawangan kepada Setiausaha Agung.


Fasal XXVIII: Yuran Dan Kewangan Cawangan


1. Ahli Cawangan hanya perlu membayar yuran pendaftaran dan yuran tahunan sebagai seorang ahli PERUBATAN seperti dinyatakan dalam Fasal VIII.

2. Ahli Cawangan perlu membayar yuran pendaftaran dan yuran tahunan PERUBATAN kepada Bendahari Cawangan. untuk diserahkan kepada Bendahari Kehormat.

3. Bendahari Cawangan akan menyimpan sejumlah 70 (tujuh puluh) peratus daripada jumlah kutipan yuran pendaftaran dan tahunan di bawah Akaun Cawangan dan bakinya akan disimpan di bawah Akaun PERUBATAN.

4. Bendahari Cawangan boleh membuat kutipan wang di kalangan ahli Cawangan sekiranya difikirkan munasabah dan perlu dan mestilah dipersetujui oleh Ahli Jawatankuasa Cawangan.

5. Bendahari Cawangan dibolehkan menyimpan wang yang akan ditetapkan jumlahnya oleh Jawatankuasa Cawangan dari masa ke semasa, tetapi tidak boleh melebihi LE 1000 pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank dengan persetujuan Ahli Jawatankuasa Cawangan di bawah Akaun Cawangan.

6. Segala kemasukan dan pengeluaran wang termasuk sumbangan dan derma kepada Cawangan mestilah dilaporkan kepada Bendahari Agung PERUBATAN.

7. Bendahari Agung PERUBATAN berhak menahan kemasukan wang ke sesebuah Cawangan dengan persetujuan Ahli Jawatankuasa PERUBATAN sekiranya didapati kemasukan wang tersebut boleh menjejaskan kebebasan PERUBATAN, memudaratkan pendiriannya atau mempengaruhi dasar, rancangan atau aktivitinya.

8. Laporan Kewangan dan Penyata Akaun tahunan hendaklah disediakan oleh Bendahari Cawangan dan dibentangkan dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan dan dihantar kepada Bendahari Kehormat.

9. Perbelanjaan yang lebih daripada LE 500 bagi sesuatu masa mestilah mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Cawangan.

10. Kewangan Cawangan boleh dibelanjakan untuk perkara berikut:

• Bayaran kos dan perbelanjaan pentadbiran Cawangan.
• Mencetak dan mengedar surat, berita, pekeliling dan dokumen untuk kebajikan dan kepentingan ahli selaras dengan tugas dan matlamat PERUBATAN.
• Menjalankan aktiviti sukan, akademik, dan sosio budaya untuk ahli.


11. Segala cek-cek dan Penyata Akaun Cawangan hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi dan Bendahari.

12. Tahun Kewangan Cawangan ialah 30 (tiga puluh) hari sebelum tarikh diadakan Mesyuarat Tahunan Cawangan hingga 30 (tiga puluh) hari sebelum tarikh Mesyuarat Tahunan Cawangan berikutnya.


Fasal XXIX: Kegiatan Cawangan


1. Setiap program yang dianjurkan Cawangan mestilah dilaporkan kepada Presiden PERUBATAN atau Timbalan Presiden I dan II PERUBATAN atau mana-mana Ahli Jawatankuasa PERUBATAN mengikut turutan.

2. Setiap program Cawangan perlu mendapat persetujuan Jawatankuasa PERUBATAN.

3. Setiap program yang bersangkutan dengan pihak Keselamatan Mesir mesti dirujuk kepada Jawatankuasa PERUBATAN dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) yang berkenaan.

4. Setiap program individu di Cawangan mestilah di bawah pengetahuan Ahli Jawatankuasa Cawangan.

5. Semua ahli Cawangan adalah digalakkan untuk turut serta dalam sebarang aktiviti anjuran PERUBATAN dan Cawangan.

6. Kegiatan hendaklah mencapai objektif PERUBATAN seperti yang tersebut dalam Perlembagaan ini.

7. Ahli Cawangan yang bercadang untuk membuat sebarang kegiatan yang menggunakan nama PERUBATAN hendaklah menyampaikan surat bertulis bersama-sama dengan kertas kerja kepada Setiausaha Agung PERUBATAN untuk pertimbangan Jawatankuasa PERUBATAN.

8. Setiap program di Cawangan hendaklah diselaraskan oleh Panitia Perancang.


Fasal XXX: Undang-undang umum Cawangan


1. Struktur organisasi setiap Cawangan hendaklah mengikut Perlembagaan ini.

2. Segala permasalahan yang melibatkan dasar PERUBATAN dan hubungan luar
Cawangan mahupun PERUBATAN perlu dirujuk terus kepada Presiden PERUBATAN.
3. CAWANGAN merupakan cawangan PERUBATAN di negeri lain di Mesir selain Kaherah. Ahli PERUBATAN yang menuntut di mana-mana universiti di Kaherah dan/atau tidak berdaftar dengan mana-mana Cawangan adalah tidak tertakluk kepada mana-mana Cawangan dan tidak tertakluk kepada fasal-fasal berkaitan Cawangan dan segala urusan membabitkan PERUBATAN boleh dilakukan terus kepada Ahli Jawatankuasa PERUBATAN.

4. Cawangan hendaklah melaksana dan menjayakan misi, visi serta objektif PERUBATAN.

5. Cawangan hendaklah mematuhi dasar-dasar PERUBATAN dan menghormati segala perjanjian yang dibuat dengan mana-mana pertubuhan lain.


Fasal XXXI: Larangan


1. Ahli dilarang melanggar Syariat Islam.

2. Ahli dilarang menghisap rokok atau shisha di premis PERUBATAN.

3. PERUBATAN tidak menggalakkan ahli di kalangan wanita untuk mengadakan sebarang aktiviti ke tempat yang jauh.

4. Ahli PERUBATAN dilarang menggunakan logo dan segala yang berkaitan dengan PERUBATAN tanpa kebenaran Jawatankuasa PERUBATAN.

5. Ahli PERUBATAN tidak boleh menyertai mana-mana pertubuhan ala-politik dan/atau boleh menggugat perpaduan PERUBATAN.

6. Ahli dilarang menggunakan hak milik dan perbendaharaan PERUBATAN tanpa kebenaran Jawatankuasa PERUBATAN.


Fasal XXXII: Tindakan Tatatertib dan Lucut Hak


1. Tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap jawatankuasa/ahli secara individu atau kumpulan yang melanggar mana-mana fasal perlembagaan dalam membuat keputusan atau tindakan yang membawa nama PERUBATAN. Tindakan ini mestilah di bawah persetujuan Jawatankuasa PERUBATAN dan Lembaga Penasihat.

2. Pelucutan keahlian akan dibuat sekiranya:
  • Ahli PERUBATAN yang disabit kesalahan dadah.
  • Ahli PERUBATAN yang disabit kesalahan jenayah.
  • Ahli PERUBATAN yang merosakkan atau memudaratkan kesentosaan atau nama baik PERUBATAN atau melanggar perlembagaan PERUBATAN.
  • Lain-lain kesalahan yang difikirkan perlu.
3. Kelucutan hak Ahli PERUBATAN mestilah di bawah persetujuan Jawatankuasa PERUBATAN dan Lembaga Penasihat.


Fasal XXXIII: Pindaan Perlembagaan

1. Sebarang usul untuk perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan kepada Perlembagaan hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa PERUBATAN melalui Setiausaha Agung PERUBATAN selewat-lewatnya 7 (tujuh) hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan.

2. Perlembagaan PERUBATAN tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan persetujuan tidak kurang daripada 2/3 (dua per tiga) dari jumlah ahli yang layak mengundi atas usul-usul mengenainya dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

3. Pindaan keseluruhan Perlembagaan ini akan dijalankan oleh sebuah panel khas yang disebut sebagai Panel Pindaan Perlembagaan (PPP) yang akan dilantik oleh Jawatankuasa PERUBATAN dan Lembaga Penasihat.

4. Draf Pindaan Perlembagaan yang disiapkan oleh PPP akan dibentang dalam satu mesyuarat khas dengan Jawatankuasa PERUBATAN dan Lembaga Penasihat sebelum dibentang dalam Mesyuarat Agung Khas

5. Perlembagaan yang dipinda hanya akan berjalan kuatkuasanya mulai dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan yang terdekat.



Fasal XXXIV: Perkara Am

1. Semua kenyataan awam dan akhbar di atas nama PERUBATAN hendaklah dibuat oleh Presiden PERUBATAN atau Setiausaha Agung atau ahli lain yang diarahkan atau diiktiraf oleh Jawatankuasa.

2. Jika berlaku sebarang pertikaian berkenaan dengan sebarang peruntukan atau fasal dalam perlembagaan ini dan tidak boleh diselesaikan secara dalaman, maka Lembaga Penasihat hendaklah dirujuk bagi membuat keputusan.

3. PERUBATAN tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti politik atau perkara yang melanggar undang-undang Mesir dan tidak boleh membenarkan kewangan atau premisnya digunakan untuk tujuan berkenaan.

4. Etika PERUBATAN adalah panduan gerak kerja berkenaan pengurusan, pentadbiran dan perjalanan PERUBATAN.



Fasal XXXV: Pembubaran

1. PERUBATAN hanya boleh dibubarkan dengan persetujuan sekurang-kurangnya 3/4 (tiga per empat) daripada jumlah ahli-ahli yang layak mengundi.

2. Mesyuarat Agung Luar Biasa akan diadakan untuk membincangkan pembubaran dan masalah-masalah berkaitan perbendaharaan selepas pembubaran.

0 comments:

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP